Mencari Ketenangan Jiwa…

August 19, 2008

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana masih dipanjangkan usuia, diberi peluang untuk meneruskan amal ibadah. Kebelakangan ni, aku merasakan satu perbezaan yang sangat ketara. Terasa seperti dihimpit pelbagai kesulitan dan kesukaran. Cabaran yang datang bertalu-talu bagaikan tiada penghujungnya ini sedikit sebanyak menguji keimanan dan kesabaran. Hati ini mungkin telah lama tidak menemui makanannya, mungkin juga telah lama hitam dimamah dosa, mungkin… dan bermacam kemungkinan. Hasilnya tetap satu – tiada ketenangan jiwa.

Bagaimanakah amalanku? Adakah diterima Allah atau tidak? Adakah memberi kesan kepada jiwa yang luka lara ini? Kebelakangan ini, ‘Atheef Fathi sering sakit. Demam, batuk, selsema memberi natijah kepada tidur malam yang tidak lena. Asyik menagis sahaja. Aku pun turut sama tak tidur. Allahu Akbar. Begini rupanya jika ada anak kecil yang sedang mengenal dunia. Memerlukan tahap kesabaran yang cukup tinggi. Ya Allah, berikan lah aku kekuatan dan ketenangan. Bantulah hamba-Mu ini…Amin.

Sambil-sambil membelek e-mail lama terjumpa satu artikel yang boleh dikongsi bersama. Insyaallah :

Sikap positif dorong umat fahami fitrah

Pandangan mata hati, berfikir dapat hasilkan insan menilai nikmat kurniaan Tuhan

AHLI tafsir terkemuka, Imam Ar Razi, ketika menafsirkan ayat ‘Al-Rahman Al-Rahim’ (surah al-Fatihah) menyebutkan dua kisah sangat mengesankan dan menunjukkan betapa Allah Maha Pengasih dan Penyayang.

Satu kisah itu ialah pengalaman seorang salih dan ahli sufi bernama Ibrahim Adham. Pada suatu hari Ibrahim menjamu selera di rumah seorang ketua kaum. Ketua kaum itu menghormati beliau dengan menghidangkan makanan enak.

Ketika Ibrahim hendak menyuap, tiba-tiba datang seekor burung gagak menyambar makanan itu. Ibrahim segera melihat bahawa pasti ada suatu pengajaran daripada tindakan aneh burung itu. Beliau segera bangkit dan berjalan mengikuti arah burung itu terbang.

Ibrahim ternampak gagak itu menjatuhkan makanan ke suatu tempat. Ibrahim mendekati arah jatuhnya makanan itu. Setibanya di tempat itu, Ibrahim menyaksikan seorang lelaki yang diikat dalam keadaan terlentang di bawah sebuah pohon rendang.

Rupa-rupanya makanan yang dijatuhkan burung gagak terus masuk tepat ke mulut insan tidak berdaya itu. Ibrahim segera mengagungkan Allah, yang menyelamatkan hamba-Nya yang tidak berdaya.

Secara logik akal, insan itu tidak akan hidup lama dalam keadaan terikat seorang diri di hutan namun, kerana kasih sayang Allah, Dia menghantar gagak untuk membantu insan malang itu.

Cerita Ibrahim ini menggambarkan kepada kita mengenai sikapnya yang melihat kebaikan di sebalik kejadian yang kelihatan buruk. Sering kali kita dengar pakar motivasi memberikan tip untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagiaan.

Antaranya, kita perlukan tiga perkara untuk mencapainya iaitu ilmu, kemahiran dan sikap. Daripada ketiga perkara ini, yang paling utama adalah sikap. Andai kata kita ingin menjadi sahabat yang cemerlang, hanya sikap menjadi penentu.

Kita mungkin menjadi seorang paling alim dan intelek di muka bumi, tetapi kita pastinya dibenci oleh lawan, mahupun kawan andai tidak mempunyai sikap yang baik. Sikap negatif seperti tidak prihatin, mulut celupar, panas baran sudah cukup membuatkan orang benci pada kita.

Kajian oleh seorang profesor daripada Universiti Yale, membuktikan hal ini apabila didapati tujuh peratus kejayaan graduan dari Sekolah Perniagaan Harvard bergantung pada ilmu dan kemahiran sementara 93 peratus bergantung kepada sikap.

Sikap maksudnya cara kita melihat pada sesuatu. Kita dapat apa yang kita lihat. Contoh, apabila kita melawat pantai yang memutih, ada tiga cara (mungkin lebih) melihat pantai itu. Sebagai pelancong kita melihatnya sebagai tempat untuk merehatkan minda dan bersantai. Maka kerehatan yang bakal kita peroleh.

Sebagai penangkap ketam, kita ke sana untuk menangkap ketam. Maka ketam akan kita dapat. Sebagai usahawan, kita mencari ruang niaga yang sesuai dan menguntungkan. Maka memang kemungkinan besar, itulah yang akan kita peroleh.

Seruan untuk membetulkan cara melihat atau sudut pandangan, bukanlah semata-mata seruan daripada pakar motivasi saja. Seruan itu juga adalah seruan Ilahi dalam al-Quran. Berapa banyak ayat yang seolah-oleh bertanya kepada manusia, “Tidakkah kamu melihat?” dan kritikan buat manusia yang membutakan diri, “Apakah kamu tidak melihat?”

Ada pelbagai cara untuk memandang, iaitu pandangan mata, akal, nafsu dan mata hati. Cara paling baik untuk menentukan sikap ialah dengan pandangan mata hati, pandangan digandingi dengan aktiviti berfikir untuk menghasilkan yang terbaik bagi semua pihak.

Contoh, kita ingin mengambil kaedah digunakan seorang ulama, Abd Majid Aziz Az-Zindani dalam bukunya, Kitab Tauhid ketika membicarakan perihal ayat dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.” (Surah Abasa, ayat 24)

Menurut beliau, daripada makanan beliau boleh melihat sembilan sifat Allah padanya antaranya Maha Pemberi Rezeki. Apakah nilai pada sepinggan nasi berharga RM5 jika kita tidak fikirkan berapa orang terbabit untuk menyediakan sepinggan nasi.

Jika kita kaji proses terhasilnya nasi daripada beras, menjurus kepada padi di sawah, kita dapat merasai kasih sayang Allah yang memberikan rezeki. Daripada contoh kita fahami fitrah manusia memerlukan kepada masyarakat sama ada dia mahu atau tidak, suka atau tidak.

Dalam kehidupan sehari, sedar atau tidak kita sentiasa mendapat pertolongan Allah terutama saat berada dalam keadaan genting dan sangat terdesak. Kita sering dimanjakan dengan kasih sayang-Nya. Namun, kita selalu melupakannya.

Malah, kadangkala kita sering menganggap bahawa kecemerlangan dicapai kerana kehebatan kita. Akibatnya kita acap kali menjadi sombong dan bangga kerananya. Kita ambil mudah banyak perkara dan melanggar hukum-Nya, dengan pelbagai alasan yang kita reka sendiri. Walhal sebenarnya nikmat itu hanyalah kurniaan Allah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: